Rabu, 25 Disember 2013

Hari Natal: Nabi Isa A.S mengikut Al-Quran

 
Hari Natal.
 
Malaysia bercuti sempena hari natal.
 
Selamat bercuti pada hari ini pada semua rakyat Malaysia.
 
Sekadar mengingat Nabi Isa A.S seperti yang disebut dalam Al Quran -
 
 
Surah Ali ‘Imran: 45-47

"(ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh. Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah Engkau ', lalu menjadilah ia."
 
 Surah. Maryam: 30-33
"Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku al-Kitab (injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup; dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikanku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali."
Surah Al-Ma’idah: 116-117
 
"Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang Tuhan selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha mengetahui perkara yang ghaib-ghaib. Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya iaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau mengangkatku, Engkau-lah yang mengawasi mereka, dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu."
 
Surah An-Nisaa’ ayat 157-158
 
"Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya Kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya Dengan yakin. bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
 
Nota: Gambar diambil dari laman sesawang internet dan mungkin mempunyai hak cipta.

Selasa, 24 Disember 2013

Senandung Gajah Putih Bertahun Baru - Nota 2: Memuat Naik Mood Bercuti

 
 
Hari ini: uploading vacation mood....
 
Esok: terbang dengan MH788 dari KLIA  Sepang ke  Lapangan Terbang Suvarnabhumi... semoga Allah izinkan.
 
Mengapa bukan Air Asia? Hahahah... tidak sanggup menghadapi kerenah Air Asia itu. Kalau Malaysia Airlines pergi ke destinasi yang hendak dituju itu, eloklah guna Malaysia Airlines. Lagi pun dapat membeli tiket promosi harga murah Malaysia Airlines. Lebih kurang sama sahaja harganya dengan Air Asia yang sentiasa menyusahkan itu. Tiada kos tersembunyi. Ada makanan, berat bagasi 30kg, pilihan tempat duduk percuma dan lapangan terbangan yang lebih selesa. Oppps... terpromosi pula Malaysia Airlines.
 
Daftar masuk telah buat dalam talian semalam petang dan memilih tempat duduk 8F. Tepi tingkap katanya. Tapi semasa mendaftar masuk itu, terperasan yang ejaan nama tersalah taip pula. Ada tambahan huruf vocal 'a' pula pada nama itu. Erk... tapi boleh saja daftar dalam talian itu diteruskan. Tapi esok akan pergi ke Pejabat Tiket Mas untuk membetulkan ejaan. Takut tertahan pula di Imigresen Thailand kerana ejaan nama yang tersilap itu. Satu hal pula nak menyelesaikannya nanti.
 
Di Bangkok akan tinggal di Take A Nap. Mudah di situ. Entri yang lepas dah dicatatkan. Ada sarapan yang halal, berhampiran stesen BTS Sala Daeng dan MRT Sam Yat. Dan yang penting ada wifi percuma yang kelajuannya boleh tahan.
 
Mudah-mudahan tiada demontrasi yang bukan-bukan di Bangkok nanti. Mudah-mudahan semua lancar dan tidak menyusahkan. Mudah-mudahan semuanya baik-baik hendaknya.
 
 Ameen...
 


Nota: gambar peta diambil dari laman sesawang internet dan mungkin mempunyai hak cipta


Isnin, 16 Disember 2013

Big Bad Wolf 2013 lagi



Pergi lagi ke jualan Big Bad Wolf ini pada hari terakhirnya semalam.
 
Kunjungan kali ketiga sebenarnya. Dan berhabis lagi sekitar RM200 lebih. Tidak mengapalah. Boleh mendapat pelepasan cukai. Semalam banyak membeli novel. Jeffrey Acher dan John Grisham. Sekadar menambah koleksi tang ada dalam almari buku. Entah bila akan dibaca. Heee...
 
Sebelum itu pada kunjungan kali kedua ke Big Bad Wolf, terjumpa buku ini -
 
 
Mario Lopez's Knockout Fitness.
 
Rasanya ini buku fitness yang bagus. Ada rutin senaman dan ada pemakanan serta diet yang patut diikuti. Paling penting, harganya hanya RM12.00 sahaja. Terus diambil satu dan dimasukkan dalam kotak yang dipenuhi dengan novel-novel lain itu. Kononnya ingin dicuba rutin dalam buku ini. Supaya lebih sihat untuk berjalan dan melangkah dengan lebih jauh.
 
Tetapi rasanya sesiapa yang bercita-cita hendak mempunyai sixpack seperti Mario Lopez ini -
 
 
patut mencuba rutin yang ditunjukkan dalam buku ini. Heee...
 
Mari kita lihat sedikit klip video daripada Mario Lopez mengenai rutin beliau -
 
 
 
 
Selamat menjadi sihat....

Dan... Ya, tahun ini tiga kali kunjungan ke Big Bad Wolf dibuat!



Nota: Gambar dan klip video diambil dari laman sesawang di internet dan mungkin mempunyai hak cipta

Sabtu, 14 Disember 2013

Senandung Gajah Putih Bertahun Baru - Nota 1: Bangkok Lagi

 
 
Bercuti.
 
25hb Disember 2013 - 1hb Januari 2014.
 
Ke Bangkok lagi. Kali ini 8 hari. Kembara solo.
 
Tiket yang dibeli semasa Malaysia Airlines membuat jualan murah berbulan-bulan lamanya dulu. Tempat tinggalnya dibeli di Agoda - Take A Nap. Mudah di situ. Berdekatan stesen BTS Sala Daeng dan MRT Sam Yan. Mudah ke mana-mana nanti. Semasa rancangan ke Bangkok ini dibuat, dan semasa tiket ini dibeli, ianya lebih didorong oleh semangat dan perasaan ingin bercuti melepaskan tekanan kerja.
 
Tetapi Bangkok sedang dalam gelora politik sekarang ini lanjutan daripada ketidakpuasan hati terhadap parti kerajaan mengusulkan undang-undang mengampunkan pesalah politik. Pihak pembangkang mengatakan itu cuba parti kerajaan untuk membawa mantan perdana menteri dahulu - Thaksin - yang dituduh mengamalkan rasuah balik ke Thailand. Tentulah pihak kerajaan Thailand menafikan.
 
Namun berdasarkan berita ianya tidak seteruk dahulu  - tahun 2010 -  sehingga lapangan terbang juga ditawan pihak pembangkang. Perdana Menteri sekarang telah bersetuju membubarkan parlimen Thailand bagi membolehkan pilihanraya baru diadakan pada bulan Februari 2014 nanti. Tetapi nampaknya,pihak pembangkang seperti tidak bersetuju dengan rancangan mengadakan pilihanraya itu. Mereka mahu pemimpin terus dilantik dan suatu majlis rakyat ditubuhkan.

Adoyai... harapan semuanya baik-baik sahaja nanti. Lagi 10 hari. Niatnya hendak bercuti tahun baru dan merasai sambutannya di Bangkok melepaskan tekanan. Bukan menambah tekanan dengan keadaan politik sebegini.

Moga dipermudahkan. Moga semuanya baik-baik. Moga tiada yang buruk-buruk berlaku nanti

Terus berharap dan berdoa...


Nota: gambar peta diambil dari laman sesawang internet dan mungkin mempunyai hak cipta

Khamis, 12 Disember 2013

Tip Kembara: Semak Status Kawalan Imigresen ke Luar Negara




Pasport.
Hendak mengembara dan bercuti ke luar negara perlukan pasport. 
Ini merupakan dokumen utama yang akan membolehkan rakyat Malaysia melepasi sempadan negara tercinta ini. Ini juga dokumen utama yang akan membolehkan rakyat negara ini yang telah melepasi sempadan negara, diterima masuk ke negara lain yang ingin dilawati atau diziarahi itu. Dan tentulah bagi sesetengah negara yang ingin dilawati atau diziarahi itu, perlu juga ada visa yang perlu diperoleh terlebih dahulu. Yang penting, passport ini perlu ada dahulu.
Setelah ada dokumen perjalanan utama ini, pastikan anda tidak dihalang atau disekat daripada keluar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Sekiranya anda bankrup, atau ada hutang PTPTN, atau hutang LHDN atau ada kes tertentu, anda akan tersekat di laluan autogate imigresen ataupun di kaunter imigresen. Kalau dihalang di situ, malu besar jadinya.
Oleh itu, silalah guna kemudahan semakan status perjalanan ke luar negara yang disediakan oleh Jabatan Imigresen ini - Semakan Status Kawalan Imigresen ke Luar Negara. Hanya  masukkan nombor kad pengenalan anda untuk membuat semakan. Tidak sampai lima saat, anda akan ketahui sama ada anda terhalang atau tidak ke luar negara. Syabas Jabatan Imigresen atas semakan dalam talian ini. Memang memudahkan pelanggan.
Selamat bercuti...
Nota: gambar passport diambil dari laman sesawang internet dan mungkin mempunyai hak cipta

Ahad, 8 Disember 2013

Taeyang: I'll Will Be There

 
 
Err... sekadar suatu lepasan tekanan, marilah kita tonton klip video daripada Taeyang.
 
Siapa Taeyang? Bertanyalah kepada Profesor Google. Pastilah dapat jawapannya. Ramai peminatnya di Malaysia yang telah membuat entri mengenai beliau rasanya. Ini bukanlah suatu entri mengenai K-POP.
 
Entri ini sekadar-kadar ingin mempromosi statement - I'll Be There - sahaja sebenarnya., selain melepaskan tekanan. Enjoy...
 
 
 
 
 
 
 
Jangan lebih tertekan selepas melihat klip video ini sudahlah... hahahaha....
 
 
Nota: gambar dan klip video diambil dari laman internet dan mungkin mempunyai hak cipta
 


Sabtu, 7 Disember 2013

Tip Kembara: Don't locked yourself out of your room...

AMARAN: Awas entri 18SX


Oppss... Maafkan saya.

Klip video di atas ini bersifat 18sx. Jangan diketip play kalau tidak mahu melihatnya.

Namun ia cuma sekadar pengajaran kepada pengembara, penjelajah dan traveller di luar sana yang selalu ke sana sini dan bermalam di hotel atau hostel. Jangan fikir tiada orang di laluan hotel dan anda hanya ingin letakkan bekas makanan yang telah ditempah daripada room service, di luar bilik hotel yang tidak sampai pun 5 saat, anda boleh keluar dengan berpakaian tabie - tanpa pakaian. Berhati-hatilah kerana pintu bilik akan tertutup dari dalam. Dan ada juga kamera keselamatan di laluan hotel itu.

Hahahaha...
Tidak tahu mahu rasa kasihan atau ketawa melihat kejadian ini. Entah betul entah tidak kejadian ini. Kalau betul, memanglah nanges.... Apapun, ambillah pengajaran daripadanya..

Adoyai... masih ketawa panjang....


Nota: klip video di ambil dari laman internet dan mungkin mempunyai hak cipta

Jumaat, 6 Disember 2013

Big Bad Wolf 2013


Jualan Big Bad Wolf kembali lagi pada 2013 ini.
 
Dari 6 hingga 15 Disember 2013 di Miecc di the Mines. Tempat yang sama seperti pada tahun lepas.  Kali ini jualannya 24 jam bermula pada jam 7 pagi 6hb Diesmber 2013 itu sehingga jam 9 malam, 15hb Disember 2015. Jangan ketinggalan mendapatkan buku yang murah tahun ini. Rasa ternampak buku berkaitan dengan setem ada terjual di sana dalam gamabr-gambar promosi yang disiar di laman sesawang Big Bad Wolf. Nanti akan cuba mencari di sana.
 
Dan semoga semangat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia terus membara...
 
 
Nota: gambar diambil dari laman sesawang Big Bad Wolf

Sabtu, 23 November 2013

Kembara Angkor 2013 - Catatan 5 (Siem Reap)


20 Februari 2013.

Rabu.

Seawal 4:45 pagi telah sampai ke LCCT.
 
Belum pun subuh. Tetapi ramainya manusia di sini.
 
Cepat-cepat menguruskan daftar masuk dan daftar bagasi. Kemudian kami bergegas-gegas pula melalui kawalan keselamatan untuk masuk ke balai berlepas. Kali ini tidak mahu bersarapan di Asia Café di LCCT kerana terlalu ramai orang. Malah, barisan sebelum kawalan keselamatan pun panjang. Seperti tidak terurus sahaja check point keselamatan. Dan malang juga bila masih ada penumpang antarabangsa Air Asia yang masih membawa air botol yang baru dibeli dan masih belum dibuka melewati check point itu. Tentu sahajalah botol-botol air itu dirampas. Ada juga yang tidak berpuas hati nampaknya. Tetapi tentulah itu bukan salah polis. Peraturannya jelas.
 
Apabila telah memasuki balai berlepas, terasa pula lapar. Cuba juga memujuk hati dan perut yang berkeroncong itu untuk bersabar sebab telah memesan makanan dalam penerbangan. Tetapi tidak berjaya. Membeli juga sandwich dan air mineral di kedai dalam balai berlepas itu untuk dimakan. Aduhai...
 
Apabila dipanggil untuk menaiki kapal terbang AK1480 pada lebih kurang pukul 6:30 pagi, kami hanya relaks-relaks sahaja di kerusi dalam balai berlepas kerana barisan yang hendak ke Siem Reap di Pintu T6 itu panjang. Cuma tidak berlengkar-lengkar sahaja. Heee...
 
Lagipun tempat duduk dalam kapal terbang telah ditetapkan. Bersabarlah. Ramainya orang putih dalam penerbangan ini. Lebih kurang dua jam penerbangan kami selamat sampai ke Siem Reap. Sebuah lapangan terbang kecil yang reka bentuk sangat menarik dan sangat bercirikan melayu. Sayang sungguh tidak bergambar di hadapan lapangan terbang itu.
 
Masuk sahaja ke dalam bangunan ketibaan, kami berdua tercangak-cangak sebentar kerana pegawai imigresen Kemboja mengarahkan semua orang untuk mendapatkan visa on arrival. Bayarannya 20US Dollar. Setahu kami tidak perlu visa. Tapi kami akur saja sambil mengekori sekumpulan orang putih beratur di kaunter visa. Tiba-Tiba pegawai imigresen yang sama nampak passport merah yang kami pegang, dan berkata: Malaysian passport no need visa. Huh.. terus keluar barisan dan menuju ke kaunter imigresen yang lengang untuk kebenaran masuk ke Kemboja. Bangga sungguh menjadi rakyat Malaysia ketika itu. Hahaha...
 
Selesai urusan imigresen, terus menuju ke karousel menunggu bagasi masing-masing. Dan terus keluar mencari teksi. Ada kaunter teksi, tapi tidak sesiapa pula di kaunter teksi itu. Tetiba terlihat ada seorang yang memegang placard yang tertulis nama yours truly, walaupun ejaannya salah - Dodil! Encik Moon ketawa besar dengan ejaan nama itu.  Tetapi hotelnya betul - Jasmine Garden Villa. Kami cuba menyiasat betulkah itu untuk kami? Hahahah... memang betul. Teksi - atau lebih tepat tuk-tuk versi Kemboja - memang termasuk dalam tempahan hotel itu sebab tempahan penginapan hotel melebihi dua malam.
 
Tuk-Tuk Kemboja dengan ciri-ciri tersendiri berbeza dengan Thailand atau Indonesia


Pengalaman pertama menaiki tuk-tuk ini dari lapangan terbang ke hotel - rasa takut terhumban keluar dan kami bersungguh-sungguh memegang pemegang di tepi tuk-tuk itu. Sungguh tidak yakin dengan struktur tuk-tuk itu. Ditambah dengan cubaan merempit oleh pemandu tuk-tuk di beberapa tempat dalam perjalanan ke hotel. Apapun, alhamdulillah selamat sampai ke Jasmine Garden Villa. dan alhamdulillah juga, bilik tersedia walaupun kami tiba awal dalam pukul 10:00 pagi. Daftar masuk sepatutnya pukul 3:00 petang.
 
Selamat datang ke Cambodia dan Siem Reap!!
 
 
 
nota: gambar peta Cambodia diambil dari laman sesawang di internet dan mungkin mempunyai hak cipta

Selasa, 15 Oktober 2013

Selamat Hari Raya Aidil Adha 2013



Selamat hari raya Aidil Adha 2013.

Mudah-mudahan semua ibadah haji yang dilaksanakan oleh Jemaah haji Malaysia diterima-Nya dan dan mendapat semua beroleh haji yang mabrur. Dan mudah-mudahan semua amalan korban yang dilakukan pada tahun ini diterima-Nya dan beroleh pahala dan balasan baik daripada-Nya.
 
 
nota: gambar ucapan diambil dari laman internet dan mungkin mempunyai hak cipta

Ahad, 1 September 2013

50 Tahun Muzium Negara Malaysia

 
 
Sempena 50 tahun Muzium Negara, Pos Malaysia membuat keluaran khas setem dan sampul hari pertama Muzium & Artifak pada 31hb Ogos 2013. Keluaran setem ini katanya mempunyai thermochromic ink. Sekiranya dakwat ini dikenakan pada suhu +-37 darjah celcius, akan kelihatan artifak di setem tersebut. Dan bagi yang ke Muzium Negara pada hari Kemerdekaan, boleh membeli keluaran itu pada hari itu dan membatalkan dengan cop pembatalan khas tertera 'Muzium Khas'. Bagi jualan biasa, keluaran ini dijual pada 2hb September 2013 di pejabat-pejabat pos. Cop pembatalan biasa hanya tertera 'Kuala Lumpur', atau nama pejabat-pejabat pos yang dibeli keluaran itu.
 
Jom lihat reka bentuknya -
 
set setem
 
 
lembaran setem
 
 
sampul hari pertama
 
 
 sampul hari pertama dengan set setem
cop pembatalan biasa pada 2hb September 2013 di Pejabat Pos Kuala Lumpur
 
 
 
 
cop pembatalan khas pada 31hb Ogos 2013 di Muzium Negara sahaja
 
Jangan lupa mengunjungi pejabat pos anda untuk membeli keluaran ini pada 2hb September 2013 ini...
 
 
 
Nota: gambar-gambar diambil dari laman sesawang Pos Malaysia

Sabtu, 31 Ogos 2013

Merdeka 56 Tahun

Selamat menyambut merdeka ke 56 tahun.
 
Sesungguhnyalah,  Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.
 
Semoga Allah sentiasa merahmati tanah ini dan melimpah rezeki, kesentosaan, kemakmuran, keselamatan dan keamanan kepada segenap lapisan rakyatnya.
 
Amin..

Selasa, 20 Ogos 2013

...Bantu Dengan Penuh Cinta - Cinta Yang Penuh Warna....




Lagu hit terkini - Aku yang dulu bukan aku sekarang. Dinyanyikan Tegar. Sangat suka dengan lirik - 'paling bisa bantu dengan penuh cinta, cinta yang penuh warna'.  Saksikan...

 


 


Ambil pengajaran dari lagu ini dan bersyukurlah seadanya dengan nikmat Allah - Duluku menderita, sekarang aku bahagia....

Isnin, 19 Ogos 2013

Setem Tiga Negara

Pos Malaysia akan mengeluarkan Setem Tiga Negara pada 23 Ogos 2013 ini. Negara-Negara yang terlibat ialah Malaysia, Thailand dan Singapura. Jom lihat rekabentuknya -


poster keluaran setem tri-nation
 
 
set setem
 

lembaran setem
 

lembaran setem
 

lembaran mini (berpelekat sendiri)
 

sampul hari pertama dengan lembaran mini
 

sampul hari pertama dengan set setem
 

sampul hari pertama
 

folder
 
 
Tandakan diari anda, dan jangan lupa ke Pejabat Pos pada 23hb Ogos 2013 untuk membeli keluaran ini.


nota: gambar-gambar diambil dari laman sesawang Pos Malaysia

Sabtu, 17 Ogos 2013

Kembar Angkor 2013: Catatan 4 (Klip Pilihan)

 

Beberapa gambar pilihan terakam dalam klip dar tripadvisor bagi perjalanan Kembara Angkor ini. Saksikan...


Powered by TripAdvisor

Khamis, 8 Ogos 2013

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1434 Hijrah

 
 



Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengisytiharkan pada 7hb Ogos 2013, malam, bahawa 1 Syawal 1434 ditetapkan pada 8hb Ogos 2013. Sesungguhnyalah tidak dapat memahami kenapa siaran pengumuman itu di TV1 pertu 'dibawakan' oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Sangat pelik. Di TV3 pula siaran itu ditaja oleh CIMB Islamic. Tidakkah urusan Raja-Raja Melayu dan urusan Seri Paduka Baginda patut bebas daripada tajaan mana-mana pihak. Pelikkan.
 
Apapun, selamat hari raya Aidilfitri Al-Mubarak. Semoga semua amalan sepanjang Ramadan 1434 diterima Allah SWT dan kita dipanjangkan usia untuk bertemu Ramadan yang akan datang. Maaf zahir dan batin.

Jumaat, 2 Ogos 2013

Menunggu Ketibaan Aidilfitri

Ramadan 1434 telah berlalu 25 hari. Mood hari raya telah menjengah. Tetapi jangan lupa Ramadan masih belum berakhir. Tingkatkan amalan pada 10 malam terakhir ini.

Jom saksikan iklan raya yang comel daripada Maxis dan lets switch off  dunia maya semasa berada di kampung bersama saudara mara dalam dunia nyata.

 
 
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin...

Isnin, 8 Julai 2013

Menunggu Ketibaan Ramadan

 
Selamat datang wahai Ramadan... Ahlan wa sahlan dan semoga sempat melalui Ramadan tahun ini...
 
 
 


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."  (Al-Baqarah: 183)

Isnin, 1 Julai 2013

Mabuhay Escapade 2012 - Catatan 11 (Shawarma Snack - Akhir)

Selasa

9hb Oktober 2012


Hari ini hari terakhir kami di Manila.
 
Kami hanya bersenang-lenang di bilik hotel menunggu pukul 9:00pagi sebelum menghabiskan masa ke Robinsons lagi. Peluang terakhir untuk membeli-belah dan membeli cenderamata di Manila.
 
 
Setiap kali ke Robinsons Place dari Malvar Hostel,  kami akan melalui Bellagio Square ini dan lorong di atas. Pada waktu malam memang meriah square ini dengan orang ramai menghiburkan dengan dengan minum-minum di situ. Malah terdapat juga kanak-kanak dan remaja yang bermain bola di lorong itu.
 
Di Robinsons masih sempat juga menukarkan lagi ringgit kepada peso Filipina bagi membeli beberapa helai baju jenama Bench di Robinsons. Katanya jenama ini ialah jenama homegrown Filipina. Dan sempat juga membeli Barong dan sebuah model jeepney pada hari terakhir ini. Heee..
 
Kemudian bergegas balik ke hostel untuk mendaftar keluar pada pukul 11.00pagi. Kami mendaftar keluar dan meninggalkan beg kami di hotel. Penerbangan kami pada pukul 6:00 petang. Masih awal untuk ke Lapangan Terbang Ninoy Aquino pada pukul 11:00 pagi itu. Jadi kami menuju ke Robinsons lagi!! Kali ini untuk makan tengahari sebelum kami ke lapangan terbang.
 
Di Robinsons kami menuju ke sebuah kiosk yang bernama Sharwarma Snack. Ada tanda halal di kiosk itu. Dan kami memesan nasi sharwama. Atau apa sajalah namanya. Hee... Asalnya ingin menapak ke Halal Asian Restaurant di Jalan Mabini tetapi rasanya macam jauh pula hendak menapak. Robinsons lebih dekat. Jadi lebih baik ke situ sahaja pada hari terakhir ini. Lagi pun cuma hendak makan mengalas perut sebelum makan dalam penerbangan nanti. Owh... nasib baiklah kami menggunakan Malaysia Airlines dan bukan Air Asia untuk ke sini. Kalau tidak satu hal juga hendak ke Lapangan Terbang Clark pada hari terakhir ini.
 
2:30petang kami ke Lapangan Terbang Ninoy Aquino dan bersedia untuk balik ke Malaysia. Selepas menunggu kaunter daftar masuk Malaysia Airlines dibuka, kami mendaftar masuk, menuju ke balai berlepas sambil melalui kaunter cukai lapangan terbang sebelum ke kaunter imigresen. Ya... perlu bayar cukai ini sama seperti di Indonesia. Cukai ini tidak termasuk dalam tiket. Pastikan ada peso lebih ya...
 
 Selamat tinggal Manila.
 
 

Jumaat, 14 Jun 2013

Perjalanan Gah A382: Catatan 4 (Carta Kedudukan)


Pukul 11:40 malam, Terminal C KLIA.  MH02 sepatutnya berlepas. ke Lapangan Terbang Heathrow 

Sekiranya tiada aral, kapal ini berlepas menuju ke destinasi yang disebutkan. Daftar masuk telahpun dibuat secara di atas talian 48 jam sebelum ini dan telah memilih kerusi 14K di tingkat atas A380. Sebenarnya daftar masuk melalui web itu dibuat dengan niat ingin mendapatkan kerusi depan dan di tepi tingkap. Tetapi nampaknya semua kerusi di kelas perniagaan itu telah dipenuhi. Tiada pilihan kecuali di kerusi 14K itu. Tidak mengapalah. Masih di tepi tingkap walaupun agak kebelakang sedikit.


Err... bukan carta kedudukan lagu-lagu hit tapi carta kedudukan kerusi dalam penerbangan - seating chart. Heee... Maaf yea... Harapannya penerbangan ini berjalan lancar tanpa gegaran dan semuanya selamat sampai ke London pada pukul 5:50 pagi waktu London. Dan harapannya juga semoga perjalanan ini dipermudahkan Allah.

 Amin.

Khamis, 13 Jun 2013

Panggilan Hanoi: Catatan 2 - Restoran Nisa


29hb Mei 2013
 
Hanoi

Seharian hari ini dihabiskan dengan menghadiri seminar dan pembentangan di Hotel Nikko, Hanoi. Bersarapan seawal jam 6 pagi dan kemudiannya pada jam 8:30 pagi diteruskan dengan acara perasmian dan pembentangan seterusnya sehingga ke petang. Sebenar malam 28hb Mei 2013 sesi pertama telah dimulakan dengan pendaftaran dan pembentangan. Semasa mendapat atur acara terkini daripada urusetia semasa mendaftar malam tadi, diberitahu bahawa slot aktiviti kembara ilmu pada hari kedua nanti ialah aktiviti ke Halong Bay. Wah... nampaknya sampai jugalah ke Halong Bay. Tak perlu lagi mencuri masa nak ke sana.
 
Hari ini sebenarnya sempat juga menjengah ke pasar Dong Xuan semasa seminar berehat pada waktu tengahari. Dekat saja dari Hotel Nikko. Dengan teksi tidak sampai pun 10 minit. Dan masih juga sempat menghadiri seminar sesi petang walaupun terlewat selama 30 minit. Tugas rasmi ini mesti ditekuni dengan taat.
 
Di pasar ini banyak sungguh kain-kain ela yang dijual di tingkat 2. Tetapi orang lelaki manalah tahu menengok kain-kain ini. Hanya teman-teman perempuan sahaja yang bersungguh-sungguh membeli dari satu gerai ke gerai yang lain. Berjenis kain yang dipotong 4 meter dan dibeli mereka. English cotton kata mereka. Murah juga kata mereka. Adoyai...
 
Selepas selesai seminar pada pukul 5 petang, pergi pula ke kawasan Old Quarter. Wah... ini memang kawasan pelancong. Banyak kedai tersusun dari satu lorong ke satu lorong. Suasananya memang meriah. Sempat membeli poskad dan setem di sini untuk diposkan ke Malaysia. Tetapi setakat entri ini disiarkan hari ini, nampaknya poskad-poskad ini masih belum diterima sesiapa lagi nampaknya.
 
 
Walaupun makan malam ada disediakan pada pukul 7 malam di hotel, kami memilih untuk makan di luar sahaja kerana ingin merasa makanan Vietnam. Terus mencari restoran Nisa dan makanan di situ. Musik yang dipasang  menjadi latar belakang di restoran sungguh klasik kedengarannya. Lagu-lagu Melayu zaman P Ramlee dahulu. Sungguh 40an dan 50an rasanya. Di restoran ini juga ada dijual telekung.
 
 
Selesai makan, keluar sahaja dari restoran itu, terdapat beberapa orang penjual barang telah menunggu kami dan beria-beria cuba menjualkan barangan seperti baju, dompet dan barang-barang kraf yang lain. Dan mereka menerima ringgit Malaysia.
 

 
Akhirnya termakan juga kami dengan pujuk rayu mereka yang bersungguh itu. Belilah juga beberapa barangan yang mereka jual itu. Dan sempat pula bergambar dengan Than, seorang yang menjual barangan kulit.
 
Heee...

Rabu, 12 Jun 2013

Senandung Mahsuri Berdarah Putih: Catatan 3 (Web Zone)

 
16hb Mei - 20hb Mei 2013.
 
Senandung Mahsuri Berdarah Putih.
 
Di  Langkawi, Kedah.
 
Seperti yang diberitahu dalam catatan lepas, kedatangan kami ke Langkawi kali ini bersamaan dengan Pesta Air 2013. Banyak juga aktiviti yang diadakan di sekitar Pantai Ceinang sepanjang tiga hari pesta itu diadakan. Terdapat ragbi pantai, futsal pantai, takraw dan sepak raga bulat, tarik tali, senamrobik 1Malaysia, aktiviti jualan dan gerai dan juga persembahan pentas. Dua malam kami menjadi penonton tetap di hadapan pentas Pantai Cenang itu menyaksi persembahan Ella, Amy Search, Bunkface, Pretty Ugly, Nasir Wahab dan Ifa Raziah. Dua malam artis Ifa Raziah mendangdutkan lagu - putih-putih melati, merah-merah delima, siapa yang baik hati, pastiku terima. Tergiang-giang lirik itu sampai sekarang. Adoyai... Encik Moon pula nampaknya sangat terhibur dengan persembahan artis Nasir Wahab. Bersungguh juga dia merakamkan persembahan artis itu dengan handycamnya. Hee..
 
Jom lihat beberapa gambar kemeriahan aksi dan aktiviti pantai yang sempat dirakam sempena Pesta Air Langkawi 2013 ini.
 
 






 
 
 
 
 

 Cuma ada satu soalan sahaja dalam Pesta Air ini. Kawasan Simbah Kuyup dalam gambar yang atas sekali itu kawasan Web Zone atau kawasan Wet Zone? Opps...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...