Selasa, 18 Februari 2014

Teater Bidasari

 
16 Februari 2014. Sabtu. Persembahan matinee.
 
Tergerak hati hendak melihat teater muzikal bangsawan Bidasari ini di Istana Budaya, lalu membeli tiket dalam talian di laman Redtix. Cara mudah membeli tiket bagi acara-acara yang diadakan di Malaysia. Dan tentulah seperti modus operandi Air Asia yang lain, kita akan dikenakan bayaran atas kemudahan ini. RM6.00 dikenakan bagi pembelian dalam talian. Adoyai...




 
Kali pertama ke Istana Budaya yang gah ini. Dan memilih tempat duduk di stalls kerana ingin lihat dengan  lebih dekat dan jelas pentas dan pelakonnya. Rupanya tempat pilihan itu hanya berada dua barisan dari pentas. Memang begitu hampir dengan pentas. Walaupun dikatakan -pentas bertaraf dunia - persembahan matinee yang sepatutnya bermula pada pukul 3:00 petang, bermula lewat 20 minit. Errrr... persembahan teater lain di theateratte lain yang tidak membuat tuntutan pengiktirafan sendiri - pentas bertaraf dunia - yang pernah ditonton dahulu tidak pernah lewat sebegitu. Semua bermula tepat pada masa yang diwar-war di tiket dan box office. Istana Budaya perlu lakukan sesuatu tentang masa ini.
 
Yang perlu dipuji semasa sesi persembahan matinee ini ialah ketegasan Istana Budaya melarang gambar diambil semasa persembahan berlangsung. Rupanya ada juga rupa orang yang tidak menghargai seni dan penat lelah orang lain bekerja dan menghormati hak berkarya dan hak persembahan artis. Sibuk pula perempuan bertudung hitam di barisan depan itu mengambil gambar dan merakam persembahan yang sedang diadakan itu. Sangat menganggu penonton lain dengan silau cahaya dari samsung atau ipadnya itu. Mungkin hanya dialah saja yang ada gajet itu maka perlulah ditunjukkan kepada penonton lain yang mahu menumpu perhatian persembahan di pentas. Walaupun staf Istana Budaya telah memflashkan cahaya hijau ke arahnya semasa mengambil dan merakam gambar, dia buat-buat tidak faham, masih degil dan gigih merakam persembahan. Dan akhirnya semasa persembahan berhenti rehat selama 20 minit, staf Istana Budaya datang dan meminta dia memadamkan semua gambar dan rakamannya itu. Dan staf itu menunggu dan melihat gambar dan rakaman itu dipadamkan. Adoyai... ada juga orang yang mementingkan diri sebegitu!!
 
Apapun tentang pengurusan masa teater, persembahan teater muzikal Bidasari yang diangkat dari karya klasik dan diberi sentuhan moden ini memang menghiburkan. Persembahannya tidak mengecewakan. Menarik dan tidak kalah dengan mutu teater-teater yang lain. Pilihan reka bentuk set teater dan penataan lampu, dan juga pakaian memang memberikan kesan visual yang indah dan cantik dipandang. Mutu lakonan pelakonnya sesungguhnya sangat baik daripada Raja Azura dan Nurfathia kepada inang dan dayang-dayang, daripada Jalaludin Hasan, Aiman Hakim Ridza, Hairul Azreen Idris kepada Selamat, Selamba dan Bahrin. Memang menghiburkan dan tidak rugi menghabiskan masa pada petang Ahad itu di sini.
 
Teater ini dipersembahkan dari 10 hingga 17 Februari 2014. Malam tadi merupakan persembahan akhirnya.
 
 
"Tapi dengan angin juga, hamba diberitahu ada orang sedang merindukan hamba..." -  Tengku Iskandar

Isnin, 17 Februari 2014

Jadual Keluaran Setem Bagi Tahun 2014

Whoa... Lewatnya...

Tahun ini agak lambat Pos Malaysia mengeluarkan tentatif keluaran setem bagi tahun 2014. Tidak seperti tahun lepas 2013, sebelum Januari 2013 lagi jadual tentatifnya telah keluar sebagai panduan peminat atau pengumpul setem. Adakah Pos Malaysia masih fobia dengan kesilapan keluaran setem yang terpaksa dibatalkan tahun lepas? Hanya Pos Malaysia mampu menjawabnya.
 
Apapun jadual keluaran bagi setem tahun 2014 bagi baru disiarkan hari ini di laman Facebook Pos Malaysia.
 
Setelah dua keluaran setem, baru jadual tahunan ini keluar. Dan ini pun mungkin boleh berubah lagi.
 
Menunggu keluaran KLIA2 pada bulan Mei nanti dan juga Kartun Malaysia sempena minggu setem pada bulan Oktober nanti.
 
 
 
Nota: Jadual keluaran setem 2014 diambil dari laman Facebook Pos Malaysia, dan mungkin mempunyai hak cipta
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...