Sabtu, 11 Oktober 2014

Ayutthaya by Train 2014: Nota 3



Jumaat.

19hb September 2014.

Ayutthaya.

Ramai yang turun di stesen Ayutthaya. Sebuah stesen comel yang nampaknya sibuk juga orang ramai.

Di stesen, tercangak-cangak juga melihat sekeliling. Ada signboard yang menerangkan kempat-tempat yang boleh dilawati di Ayutthaya. Yang terfikir ketika itu, bagaimana mahu ke tempat-tempat bersejarah di Ayutthaya. Rupanya ada ramai pemandu tuk-tuk di stesen menawarkan perkhidmatan ke tempat bersejarah di Ayutthaya. Harga kenalah tawar-menawar dengan pemandu-pemandu itu. Ada yang mengambil sehingga 300 baht sejam. 

Sebenarnya perjalanan ke tempat-tempat itu tidaklah jauh mana pun. Cuma apabila sampai, pemandu tuk-tuk itu akan menunggu kita melihat-lihat tempat itu selama setengah jam atau pun sejam. Bayaran itu lebih kepada bayaran menunggu sebenarnya. Ada juga yang keluar dari stesen dan mencari basikal untuk disewa. Tentulah lebih murah kalau mengayuh basikal. Tapi memandangkan matahari tegak atas kepala, kami ambik tuk-tuk saja. Tidak sanggup mengayuh basikal dalam terik matahari. Jangan melawan kekuatan alam. Hahah...

Tiket keretapi untuk balik ke Bangkok kami putuskan untuk dibeli semasa balik ke stesen Ayutthaya nanti kerana kami tidak pasti berapa lama kami akan habiskan masa menjengok dan membelek batu-batu di Ayutthaya.


Dalam tengah-tengah rembang Jumaat itu, pemandu tuk-tuk membawa kami melawat Wat Chaimonkhon. Sebuah wat yang ada Sleeping Budha dan ada sebarisan pepatungan Budha di sekeliling tersebut. Pada kala orang sibuk bersolat Jumaat, sibuk pula kami membelek Budha di wat ini.  Aduhai... Menangis ibu bapa dengan kelakuan anak-anak ini. 

Ya ampun...

Kemudian ke Elephant Village. Kami tidak menyokong penganiayaan gajah. Jadi kami tidak lama di sini. Dan kami tidak juga menunggang gajah di sini.  Selepas itu, ke Wat Mahathat. Soroton utama di Wat ini ialah kepala Budha yang terselit di celah-celah akar pokok.


Peraturan mengambil gambar di sini ialah tidak boleh berdiri mengatasi ketinggian kedudukan kepala itu, perlu duduk supaya sama aras dengan kepala Budha sebagai tanda hormat - masuk kandang lembu, menguak, masuk kandang kambing, mengembek. Tiada ada kaitan dengan dengan akidah dan agama. 

Selepas itu ke Wat Phra Si Sanphet yang terkenal dengan tiga stupa menjulang ke langit. Dan sekali lagi dibawa ke Budha baring di sebuah taman. Terlupa namanya.


Itu ialah tempat terakhir lawatan ke Ayutthaya. Dalam terik matahari itu, memang terasa terbakar kulit, sungguhpun kami berpayung - pinjam payung yang ada dalam tuk-tuk. Pemandu tuk-tuk cuba mencadangkan agar kami balik ke Bangkok dengan minivan kerana keretapi pada hari itu mengalami kelewatan dan lambat. Tapi kami bersungguh menyuruh dia membawa kami ke stesen Ayutthaya semula.

Dalam pukul 4.15 kami sampai ke stesen keretapi. Nasib kami baik kerana sempat membeli tiket keretapi yang akan tiba dalam tempoh 3 minit saja lagi. Harga balik ke Bangkok ialah 20 baht seorang. Keretapi akan sampai di platform 4, dan kami perlu melintas track keretapi untuk ke platform 4 di seberang stesen utama. Nasib baik masih bersama kami apabila keretapi sampai, tidak ramai penumpang. Kami mendapat tempat duduk dan tidak perlu berdiri. Lega dapat duduk lepas berjalan hampir 4 jam.

Cumanya, dalam perjalanan balik tidak ramai penjual berulang-alik dalam koc.

Selamat kembali ke Bangkok.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...