Khamis, 2 Oktober 2014

Ayutthaya by Train 2014: Nota 2


Jumaat.

19hb September 2014.

Selepas sarapan, kami menapak ke stesen MRT Sam Yan. Hanya lebih kurang 7 minit  berjalan cara kami - terkedek-kedek dengan slow and steady - sampailah ke stesen MRT. Semua stesen MRT akan membuat pemeriksa keselamatan dan perlu melalui pintu scanning. Hanya perlu buka zip backpack untuk disuluh dan dilihat oleh pengawal sambil berjalan menuju ke kaunter tren. 

Di situ beli token biru ke Stesen Hua Lamphong. Boleh beli di kaunter. Atau boleh juga beli di mesin.

Di mesin pembelian tiket, boleh tekan icon bendera UK untuk pilihan bahasa Inggeris, masukkan duit baht dan taadaa...token biru keluar beserta baki baht sekiranya menggunakan duit besar. Dan kami menunggu di platform arah ke Hua Lamphong sebagai stesen MRT terakhir. Hanya satu stesen saja kami sudah sampai ke stesen itu. 


Keluar tren, berjalan ke arah stesen keretapi mengikut tanda arah yang di stesen itu. Terus kami ke kaunter tiket. Sambil membelek-belek papan tanda besar berwarna biru yang ada tertulis nama-nama tempat dan waktu-waktu, seorang pekerja stesen keretapi menegur kami - where you go? Kami menjawab 'Ayutthaya'. 

This is arrival, this side is departure. Ayutthaya at 9:25. now 9:25. Not enough time. Next train 10:20. Buy ticket at counter. Dan keretapi terakhirnya pada pukul 9:20 malam katanya. Huh! Sejam juga kena menunggu di stesen ini selepas kami membeli tiket pada harga 15 Baht seorang. Koc kelas 3 tanpa seat bernombor. Dan tanpa aircond juga. Harapnya tidak kena berdiri. 


Di stesen keretapi ada disediakan tempat untuk bersolat rupanya. 

Dan keretapi ke Ayutthaya itu memang telah menunggu sejak pukul 10 pagi lagi di platform 8 Stesen Hua Lamphong itu. Dan nasib kami baik kerana masih ada seat kosong. Tidak perlu berdiri. Ramai juga orang putih dalam keretapi ini. Rasanya semua menuju ke Ayutthaya. Dan sementara menunggu waktu keretapi bergerak, sungguh ramai penjual makanan menaiki keretapi menjual makanan dari depan ke belakang. Sungguh terasa kembali ke zaman keretapi Tanah Melayu dulu-dulu. 



Keretapi ini berlepas lewat 30 minit. 

Gelisah juga menunggu dalam koc sementara menunggu keretapi berlepas. Panas dan panas dan berpeluh!  Dan panas. Tapi bersabar untuk pengalaman yang satu ini. Akhirnya pukul 10:50 ia bergerak.

Lega. 

Terasa angin menyapa pipi menghilangkan peluh. Hahah!

Banyak juga stesen kecil yang keretapi ini berhenti. Dan penjual-penjual makanan masih lagi gigih berulang-alik menjual. Hinggalah akhirnya dari kejauhan telah ternampak dari luar tingkap bentuk-bentuk stupa menjulang ke langit yang kebiruan itu. Ketika itulah juga warden keretapi berjalan sambil menyebut 'Ayutthaya... Ayutthaya... next station'. 

Tiba-tiba terasa teruja. 


Selamat datang ke Ayutthaya!  Dengan keretapi...

Isnin, 29 September 2014

Sayang Sarawak Sungainya Sempit


11hb-16hb Ogos 2014.

Perjalanan 'Sayang Sarawak Sungainya Sempit' sebenarnya suatu perjalanan bertugas rasmi. Beberapa mesyuarat perlu dihadiri dengan beberapa jabatan. Dari Kuala Lumpur ke Bintulu dan kemudiannya ke Kuching, sebelum pulang ke Kuala Lumpur. 

Di Bintulu, dalam kesibukan bermesyuarat dengan beberapa jabatan kerajaan yang berkaitan,  dapat juga menyempatkan diri bertamu di Tamu Bintulu dan menjejak Esplanade Bintulu sebelum terbang ke Kuching dengan Mas Wing. Dan hightlightnya tentulah aktiviti menonton wayang di City Point, Bintulu. Hercules 2. Pilihan tempat duduk dipilih secara manual atas kertas. Hahah

Dan sempat merasa makanan malam di kedai Seribu Bintang yang terkenal di daerah itu. Banyak juga pilihan makanan dan minumannya. Dari seasli Sarawaknya seperti umai dan sagu hingga semoden burger dan chicken chop!

Di Kuching setelah bermesyuarat di Unimas, sebelum pulang, sempat ke Kampung Budaya Sarawak. Walaupun telah berkali-kali ke Kuching, inilah kali pertama ke situ. Menarik dan mengagumkan. Walaupun terpaksa meredah hujan dalam perkampungan itu.






Sesiapa yang ke Kuching, wajar ke sini menghayati dan mengagumi budaya kita yang kaya dan tersendiri.

Ahad, 28 September 2014

Ayutthaya by Train 2014: Nota 1




Khamis.

18hb September 2014.

Sungguhpun nama perjalanan by train, sesungguhnyalah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bangkok bukanlah dengan tren. Dari Kuala Lumpur ke Bangkok sebenarnya kami terbang dengan MH776. Harga pergi balik ke Bangkok dengan Malaysia Airlines ini hanya RM367.00 sahaja. Siapa yang dapat menolak harga promosi ini?

Perjalanan dari KLIA dengan MH776 pada jam 6:50 petang memang tepat pada waktunya dan kami sampai di Lapangan Terbang Suvarnbhumi tepat pukul 8 malam waktu Thailand. Keterujaan kembali ke Bangkok begitu terasa. Jauh di sudut hati, ada suatu rasa kegembiraan dapat kembali ke sini.

Seperti perjalanan terdahulu ke Bangkok, kali ini juga kami memilih hostel Take A Nap di jalan Rama IV. Mudah di sini. Berdekatan dengan dua stesen tren - BTS di Sala Daeng dan MRT di Sam Yan.  Dan disertai dengan sarapan halalnya yang tidak seberapa itu, tetapi memadai untuk kami. Sesampai di hostel, penjaga kaunter wanita itu dengan wajah ceria dan mesranya menyapa - welcome back - terkedu seketika... hahaha

Kami tidak ke mana-mana malam itu kerana hujan membasahi bumi Bangkok. Menghabiskan masa dalam bilik sambil menonton rancangan berbahasa Thailand, kami perlu berehat malam ini kerana esok kami merancang untuk melihat bandar lama Ayutthaya. Perjalanan secara sendiri tanpa agen dan tour.

Dan tentulah perjalanan ke Ayutthaya itu dengan keretapi Thailand yang akan dinaiki di Stesen Hua Lampong.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...