Jumaat
5hb Oktober 2012
Hari ini merancang hendak ke Rizal Park.
Semalam semasa mendaftar masuk dan semasa hendak ke Robinsons telah meminta peta Manila daripada Encik Jerome di kaunter. Dan sebelum tidur semalam telah membelek-belek peta itu, mencari jalan bagaimana hendak ke Rizal Park. Rasanya dari hostel ini tidaklah jauh sangat kalau mahu berjalan ke Rizal Park berdasarkan kepada peta. Malah rasanya kalau ingin naik LRT pun boleh kerana stesen LRT hanya beberapa blok dari hostel.
Cuma untuk kepastian, pagi ini Encik Moon bertanya lagi kepada kaunter mengenai arah jalan ke Rizal Park. Tetapi pagi ini bukan Encik Jerome yang menjaga kaunter tetapi seorang pengurus perempuan. Setelah menunjukkan arah Rizal Park dari Hostel, dia mencadangkan kami menaiki teksi. Erk... rasanya tadi kami telah nyatakan yang kami berniat untuk berjalan sebab ingin meneroka bandar raya Manila ini. Mungkin dia ragu-ragu kami mampu berjalan atau risau kami kesesatan mencari Rizal Park atau memikirkan faktor keselamatan kami, tetapi akhirnya dia pasrah juga dengan niat kami itu. Dia menasihati kami agar berhati-hati berjalan dan backpack yang bawa disandangkan di hadapan badan dan bukannya di belakang seperti selalu. Supaya selamat kata dia.
Arahan pengurus perempuan itu - berjalan ke arah kiri hostel sehingga ke hujung jalan dan berjumpa dengan Jalan Mabini, belok ke kanan dan teruskan berjalan hingga ke hujung berhampiran dengan kedutaan Amerika Syarikat. Gigih juga kami berjalan dan memerhati di mana kedutaan Amerika Syarikat itu. Tidak pula kelihatan. Tetapi berdasarkan peta yang dibawa kami tetap yakin dan terus berjalan. Ternampak beberapa buah kedai makanan yang ada tanda halal di Jalan Mabini. Pertamanya Sharwama Snack Food dan keduanya Halal Asian Restaurant. Nota minda dibuat yang semasa balik dari Rizal Park akan singgah makan di mana-mana salah satu kedai tersebut.
Tidak jumpa dengan kedutaan Amerika Syarikat, tetapi kami jumpa Pambansang Aklatan - National Library Filipina. Gigih juga bergambar di depan perpustakaan ini -semata-mata kerana ada perkataan National di depan namanya. Bertali arus juga pengunjung perpustakaan ini. Mungkin pelajar universiti kerana kebanyakannya memakai pakaian seragam baju putih dan seluar hitam.
Dari perpustakaan itu kami telah nampak Rizak Park.
Pintu masuknya hanya bersebelahan dengan perpustakaan itu. Hanya sepelaung sahaja dari perpustakaan.
Benarlah - tidak sejauh mana Rizal Park dari Hostel kami. Sampai di Rizal Park kami berjalan dengan santai-santai sahaja. Ramai juga orang di taman itu walaupun sebenarnya hari itu hari Jumaat pagi dan sepatutnya hari bekerja. Kelihatannya mereka datang bersama keluarga berkelah dan makan-makan di situ. Setelah memerhati dan melihat sekeliling dengan agak lama, baru kami perasan yang kebanyakannya mahu menunggu sehingga petang kerana ada sambutan keagamaan Kritian di taman itu petang dan malam nanti. Slogan - Jesus anak Tuhan penyelamat manusia - ada di sana sini. Ahem.
Rizal Park terbahagi kepada tiga bahagian utama: Western Section, Central Section dan Eastern Section. Setelah puas duduk-duduk memerhatikan orang tempatan dan Monumen Rizal di Central Section, kami mula bergerak ke Western Section. Wah... persiapan pentas untuk acara malam nanti rancak dijalankan bahagian tersebut.
Sebenarnya di Western Section, terdapat Manila Ocean Park. Dan di situ ada Oceanarium. Aquarium besar seperti Aquaria di Kuala Lumpur. Alang-alang sudah sampai, kami tidak fikir panjang, terus membeli tiket untuk masuk ke aquarium itu. Rasanya Aquaria lagi menarik kot. Heeee.
Nampaknya misi ke Rizal Park dengan berjalan kaki pada hari ini berjaya!!