Sabtu, 8 Jun 2013

Mabuhay Escapade 2012 - Catatan 10 (Pambansang Museo)


Isnin

8hb Oktober 2012

Masih lagi pada hari kelima di Manila.

Selepas membeli setem dan sampul hari pertama di Pejabat Pos Besar di Lawton daripada puan Pearla, kami termanggu-manggu pula mencari tempat menaiki jeepney untuk balik ke Malate. Kami cuba mengelak jeepney yang ramai orang sebenarnya. setelah berjalan menyeberang sungai yang entah apa nama di sebelah Pejabat Pos Besar itu di tengah panas yang membahang, kami berpatah balik dan akhirnya menaiki sebuah jeepney bertulis 'City Hall'.
 
Ya.. mari kita kita ke City Hall Manila.
 
Haishh... di Malaysia, tidak pula teringin hendak ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur!
 
Setelah pemandu jeepney memberitahu kami telah sampai di City Hall, kami turun daripada jeepney, memandang sekeliling mencari di mana bangunan City Hall sehinggalah seorang penumpang perempuan lain yang juga turun di situ dan mungkin kerana melihat kami tercangak-cangak, memberitahu supaya melintas jalan menggunakan laluan pejalan kaki bawah tanah berhampiran untuk melintas ke seberang jalan kerana City Hall berada di situ. Sebenarnya memang boleh nampak bangunan City Hall dari tempat kami berdiri setelah turun daripada jeepney tadi.
 
 
City Hall ini dibina pada tahun 1939. Setelah melihat-lihat City Hall, kami cuba pula berjalan mencari Muzium Nasional Filipina. Melihat peta, tidak jauh pun muzium dari City Hall. Supaya tidak sesat, kami bertanya kepada beberapa pelajar universiti yang ramai di kawasan City Hall itu. Owh... di kawasan City Hall itu memang terdapat sekurang-kurangnya tiga Universiti yang kami jumpa. Tapi sayangnya tiada siapapun tahu di mana muzium nasional mereka. Opps... tidak tahu di mana muzium Nasional!! kami menjadi blank. Takkanlah tidak tahu di mana Muzium. Agak pelik. Pelajar universiti pula. Takkanlah. Mereka memang pelajar universiti kerana di sini mereka perlu memakai pakaian seragam hitam putih. Sebenarnya kami rasa mereka seperti pelajar sekolah tinggi sahaja.
 
 
Apapun setelah berpusing-pusing dan membelek peta berkali-kali akhirnya kami sampai juga ke muzium nasional - Panbansang Museo. Memang berhampiran dengan City Hall. Tidak jauh. Tetapi sayangnya muzium itu tutup pada hari Isnin. Namun sempat juga kami minta kebenaran pengawal untuk masuk ke kawasan muzium yang berpagar itu untuk bergambar di luar bangunan muzium.
 
 
 
Setelah bergambar-gambar di hadapan bangunan itu, kami berjalan ke arah Rizal Park dan memutuskan untuk duduk di taman itu melihat-lihat aktiviti orang-0rang Filipina pada waktu petang, selain hendak melepaskan kepenatan menapak sejak turun dari jeepney mencari City Hall tadi. Terdapat sekumpulan pelajar sedang berlatih menari di taman itu dan Encik Moon bersungguh-sungguh merakamkan latihan tarian pelajar-pelajar itu. 
 
Ketika duduk di situ juga seorang pinoy yang duduk di kerusi sebelah bertanyakan jam pukul berapa dalam bahasa tagalog kepada kami. Kami beritahu bahawa kami dari Malaysia dan terus bersembang-sembang dengannya mengenai Malaysia dan Filipina dan pengalamannya berjalan-jalan ke Malaysia, Thailand dan Vietnam. Namanya Silot. Seorang pustakawan di Perpustakaan Nasional. Wah! sesungguhnya dia mengagumi Dr Mahathir Mohamad dan menyatakan rasa kagumnya kerana Malaysia mempunyai menara berkembar dan Litar Sepang. Dan owh.. dia juga pernah ke Langkawi. 
 
Menurutnya dia ke Malaysia kerana tertarik dengan promosi pelancongan yang bertaglinekan Malaysia Truly Asia. Kami juga bersembang-sembang mengenai persamaan budaya dan bahasa Malaysia dan Filipina. Semasa bersembang-sembang inilah datang seorang pinoy lain yang cuba menyuruh kami membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit aids. Bersungguh-sungguh pula dia bercakap dalam bahasa tagalog dengan kami. Si Silot hanya ketawa dan selepas itu memberitahu pinoy itu yang kami ini juga doktor dari Malaysia. Encik Moon ialah pakar pediatrik kata Silot kepada pinoy itu.
 
Selepas itu kami bertanya kepada Silot sama ada dia ingin ke China melihat tembok besar China. "I don't like China", dia kata. Sebabnya China bukan sahaja menuntut kepulauan Spratly tetapi juga menghantar tenteranya ke situ. Memang hubungan China dengan Filipina nampaknya tegang juga. Silot kata kalau setakat tembok besar itu, di Manila pun ada. Pantas dia membawa kami arah ke Intramuros yang berhampiran dengan Rizal Park itu untuk melihat kubu dan tembok Fort Santiago. Selepas menunjukkan arah, Silot meninggalkan kami di situ.
 
 


Kerana budi Silot itu, sempat juga petang itu sebelum balik Malvar Hostel kami menjelajah Intramuros dan kubu Santiago itu. Cantik sebenarnya kawasan bersejarah Intramuros. Cuma kami tidak dapat melihat semuanya kerana kekangan masa yang telah lewat petang. Tetapi bak kata Silot , sekurang-kurangnya lihatlah kubu Fort Santiago. Lagipun kami agak tidak selesa dengan pemandu-pemandu calesa yang sentiasa mengekori dan cuba menawarkan perkhidmatan kereta kuda itu sepanjang kami berjalan dalam kawasan Intramuros itu. Dan owh di Intramuros juga terdapat sekurang-kurangnya dua lagi university yang kami jumpa. Dan pelajar-pelajar itu nampaknya menghabiskan masa belajar berkumpulan di Fort Santiago. Bagus juga mereka ini.

Setelah hari semakin petang, kami kembali menahan jeepney untuk balik ke Malate. Tidak larat lagi nak berjalan. Tetapi sebenarnya semasa balik ke Malate dengan jeepney, kami terbabas sikit dari jalan Mabini dan Malvar. Kami tidak perasan dari dalam jeepney kerana hari telah gelap. Apabila turun daripada jeepney, kena jugalah menapak sedikit. Tapi Encik Moon nampaknya telah mahir menavigasikan perjalanan dengan kaki ini. Sekejap sahaja kami sampai ke Malvar Hostel.
 
Hari kelima nampaknya terisi penuh. Dan terima kasih Silot atas maklumat mengenai Manila. Esok hari terakhir kami di Manila.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...