Khamis, 16 Januari 2014

Merai Tahun Melawat Malaysia 2014


 
2014 ialah Tahun Melawat Malaysia.
 
Setiap rakyat adalah duta. Marilah memberikan yang terbaik kepada tetamu kita tanpa mengira tetamu tempatan atau antarabangsa. Bagi yang mahukan rujukan apa yang ditawarkan pada tahun ini, kliklah laman tahun melawat Malaysia ini. 
 
Sebenarnya, apabila telah melawat dan bercuti di beberapa negara luar, rasa bangga lahir sebagai rakyat negara tercinta ini terzahir dan tidak sedetik pun terasa malu dengan keindahan, keramahan dan baik budi rakyat negara tercinta ini apabila dibanding dengan negara-negara luar itu.  Tentulah ada pengajaran dan teladan yang boleh dipelajari dan dicontohi daripada mereka. Tetapi itu tidaklah bermakna negara yang dikasihi ini buruk. Tentulah dalam ramai-ramai rakyat itu ada pelbagai ragam perangainya dan ada juga seorang dua yang terkecuali. Namun secara umum, kita masih baik, mesra dan suka membantu. Bangga juga dengan keindahan dan kemajuan negara tanah tumpah darah ini, walaupun banyak juga yang masih boleh diperbaiki. Langit negara ini masih dijunjung dan terjunjung di sebalik segala yang pelik-pelik dan kelucuan politik yang berlaku.
 
Dan rasanya rakyat negara ini tidak malu apabila bercakap mengenai Langkawi Permata Kedah tempat Geoforest Park Sungai Kilim berada. Atau apabila bercakap mengenai cruise di Sungai Melaka yang tidak kurang hebatnya dengan cruise antarabangsa lain. Atau apabila bercakap mengenai keindahan alam semula jadi di Borneo - Sabah dan Sarawak - yang juga membanggakan rakyat. Gunung Kinabalu di Sabah dan kampung budaya di Sarawak tidak mengecewakan Itu belum lagi mengenai Pulau Sipadan. Atau juga Pulau Tioman. Dan belum lagi dikira makanan tempatan yang memang sedap dan berperisa. Dan buah-buah tempatan yang eksotik - durian, rambutan, manggis dan langsat.
 
Memang terdetik bangga.
 
Dan klip ini menyimpulkan segalanya tentang Malaysia -
 
 
Penyanyi dalam klip video itu ialah Yuna. Cuma kalaulah klip video ini mengambil kira sensitiviti rakyat majoriti yang beragama Islam dan lebih menonjolkan ciri keislaman itu, rasa Malaysia menjadi lebih eksotik kepada pelancong barat. Apapun, marilah menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014 kerana kita rakyat marhean ini merupakan duta negara ini.
 
Dan harapannya Pos Malaysia tidak lupa mengeluarkan setem kenang-kenangan mengenai Tahun Melawat Malaysia 2014 ini.
 
Nota: gambar dan klip video diambil dari laman sesawang dan mungkin mempunyai hak cipta.
 
 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...