Khamis, 2 Oktober 2014

Ayutthaya by Train 2014: Nota 2


Jumaat.

19hb September 2014.

Selepas sarapan, kami menapak ke stesen MRT Sam Yan. Hanya lebih kurang 7 minit  berjalan cara kami - terkedek-kedek dengan slow and steady - sampailah ke stesen MRT. Semua stesen MRT akan membuat pemeriksa keselamatan dan perlu melalui pintu scanning. Hanya perlu buka zip backpack untuk disuluh dan dilihat oleh pengawal sambil berjalan menuju ke kaunter tren. 

Di situ beli token biru ke Stesen Hua Lamphong. Boleh beli di kaunter. Atau boleh juga beli di mesin.

Di mesin pembelian tiket, boleh tekan icon bendera UK untuk pilihan bahasa Inggeris, masukkan duit baht dan taadaa...token biru keluar beserta baki baht sekiranya menggunakan duit besar. Dan kami menunggu di platform arah ke Hua Lamphong sebagai stesen MRT terakhir. Hanya satu stesen saja kami sudah sampai ke stesen itu. 


Keluar tren, berjalan ke arah stesen keretapi mengikut tanda arah yang di stesen itu. Terus kami ke kaunter tiket. Sambil membelek-belek papan tanda besar berwarna biru yang ada tertulis nama-nama tempat dan waktu-waktu, seorang pekerja stesen keretapi menegur kami - where you go? Kami menjawab 'Ayutthaya'. 

This is arrival, this side is departure. Ayutthaya at 9:25. now 9:25. Not enough time. Next train 10:20. Buy ticket at counter. Dan keretapi terakhirnya pada pukul 9:20 malam katanya. Huh! Sejam juga kena menunggu di stesen ini selepas kami membeli tiket pada harga 15 Baht seorang. Koc kelas 3 tanpa seat bernombor. Dan tanpa aircond juga. Harapnya tidak kena berdiri. 


Di stesen keretapi ada disediakan tempat untuk bersolat rupanya. 

Dan keretapi ke Ayutthaya itu memang telah menunggu sejak pukul 10 pagi lagi di platform 8 Stesen Hua Lamphong itu. Dan nasib kami baik kerana masih ada seat kosong. Tidak perlu berdiri. Ramai juga orang putih dalam keretapi ini. Rasanya semua menuju ke Ayutthaya. Dan sementara menunggu waktu keretapi bergerak, sungguh ramai penjual makanan menaiki keretapi menjual makanan dari depan ke belakang. Sungguh terasa kembali ke zaman keretapi Tanah Melayu dulu-dulu. 



Keretapi ini berlepas lewat 30 minit. 

Gelisah juga menunggu dalam koc sementara menunggu keretapi berlepas. Panas dan panas dan berpeluh!  Dan panas. Tapi bersabar untuk pengalaman yang satu ini. Akhirnya pukul 10:50 ia bergerak.

Lega. 

Terasa angin menyapa pipi menghilangkan peluh. Hahah!

Banyak juga stesen kecil yang keretapi ini berhenti. Dan penjual-penjual makanan masih lagi gigih berulang-alik menjual. Hinggalah akhirnya dari kejauhan telah ternampak dari luar tingkap bentuk-bentuk stupa menjulang ke langit yang kebiruan itu. Ketika itulah juga warden keretapi berjalan sambil menyebut 'Ayutthaya... Ayutthaya... next station'. 

Tiba-tiba terasa teruja. 


Selamat datang ke Ayutthaya!  Dengan keretapi...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...