Sabtu, 23 November 2013

Kembara Angkor 2013 - Catatan 5 (Siem Reap)


20 Februari 2013.

Rabu.

Seawal 4:45 pagi telah sampai ke LCCT.
 
Belum pun subuh. Tetapi ramainya manusia di sini.
 
Cepat-cepat menguruskan daftar masuk dan daftar bagasi. Kemudian kami bergegas-gegas pula melalui kawalan keselamatan untuk masuk ke balai berlepas. Kali ini tidak mahu bersarapan di Asia CafĂ© di LCCT kerana terlalu ramai orang. Malah, barisan sebelum kawalan keselamatan pun panjang. Seperti tidak terurus sahaja check point keselamatan. Dan malang juga bila masih ada penumpang antarabangsa Air Asia yang masih membawa air botol yang baru dibeli dan masih belum dibuka melewati check point itu. Tentu sahajalah botol-botol air itu dirampas. Ada juga yang tidak berpuas hati nampaknya. Tetapi tentulah itu bukan salah polis. Peraturannya jelas.
 
Apabila telah memasuki balai berlepas, terasa pula lapar. Cuba juga memujuk hati dan perut yang berkeroncong itu untuk bersabar sebab telah memesan makanan dalam penerbangan. Tetapi tidak berjaya. Membeli juga sandwich dan air mineral di kedai dalam balai berlepas itu untuk dimakan. Aduhai...
 
Apabila dipanggil untuk menaiki kapal terbang AK1480 pada lebih kurang pukul 6:30 pagi, kami hanya relaks-relaks sahaja di kerusi dalam balai berlepas kerana barisan yang hendak ke Siem Reap di Pintu T6 itu panjang. Cuma tidak berlengkar-lengkar sahaja. Heee...
 
Lagipun tempat duduk dalam kapal terbang telah ditetapkan. Bersabarlah. Ramainya orang putih dalam penerbangan ini. Lebih kurang dua jam penerbangan kami selamat sampai ke Siem Reap. Sebuah lapangan terbang kecil yang reka bentuk sangat menarik dan sangat bercirikan melayu. Sayang sungguh tidak bergambar di hadapan lapangan terbang itu.
 
Masuk sahaja ke dalam bangunan ketibaan, kami berdua tercangak-cangak sebentar kerana pegawai imigresen Kemboja mengarahkan semua orang untuk mendapatkan visa on arrival. Bayarannya 20US Dollar. Setahu kami tidak perlu visa. Tapi kami akur saja sambil mengekori sekumpulan orang putih beratur di kaunter visa. Tiba-Tiba pegawai imigresen yang sama nampak passport merah yang kami pegang, dan berkata: Malaysian passport no need visa. Huh.. terus keluar barisan dan menuju ke kaunter imigresen yang lengang untuk kebenaran masuk ke Kemboja. Bangga sungguh menjadi rakyat Malaysia ketika itu. Hahaha...
 
Selesai urusan imigresen, terus menuju ke karousel menunggu bagasi masing-masing. Dan terus keluar mencari teksi. Ada kaunter teksi, tapi tidak sesiapa pula di kaunter teksi itu. Tetiba terlihat ada seorang yang memegang placard yang tertulis nama yours truly, walaupun ejaannya salah - Dodil! Encik Moon ketawa besar dengan ejaan nama itu.  Tetapi hotelnya betul - Jasmine Garden Villa. Kami cuba menyiasat betulkah itu untuk kami? Hahahah... memang betul. Teksi - atau lebih tepat tuk-tuk versi Kemboja - memang termasuk dalam tempahan hotel itu sebab tempahan penginapan hotel melebihi dua malam.
 
Tuk-Tuk Kemboja dengan ciri-ciri tersendiri berbeza dengan Thailand atau Indonesia


Pengalaman pertama menaiki tuk-tuk ini dari lapangan terbang ke hotel - rasa takut terhumban keluar dan kami bersungguh-sungguh memegang pemegang di tepi tuk-tuk itu. Sungguh tidak yakin dengan struktur tuk-tuk itu. Ditambah dengan cubaan merempit oleh pemandu tuk-tuk di beberapa tempat dalam perjalanan ke hotel. Apapun, alhamdulillah selamat sampai ke Jasmine Garden Villa. dan alhamdulillah juga, bilik tersedia walaupun kami tiba awal dalam pukul 10:00 pagi. Daftar masuk sepatutnya pukul 3:00 petang.
 
Selamat datang ke Cambodia dan Siem Reap!!
 
 
 
nota: gambar peta Cambodia diambil dari laman sesawang di internet dan mungkin mempunyai hak cipta
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...