Ahad, 19 Januari 2014

Tip Kembara: Semak Kadar Tukaran Wang


Antara keperluan utama apabila ke luar negara ialah perlu membawa mata wang asing ke sana itu untuk berbelanja. Mata wang ringgit secara umumnya tidak sah diperlakukan di negara yang yang dilawati itu. Di sesetengah negara, seperti di Indonesia, kadang-kadang lebih untung mata wang ringgit ditukar semasa berada di sana. Cuma perlu bawa sedikit mata wang rupiah ke sana dan selebihnya ditukarin di sana. Heee... Tapi tidak semua negara begitu. Dalam banyak keadaan, lebih baik dan untung mata wang itu ditukar di Malaysia.

Walaupun Bank Negara mengeluarkan kadar tukaran wang bagi setiap hari bekerja, sesetengah pengurup wang mungkin akan memberikan kadar yang lebih dari kadar Bank Negara kerana persaingan sesama mereka, terutama di Jalan Tunku Abdul Rahman dan sekitar Masjid India. Contohnya hari ini. Kalau ikut kadar tukar wang Bank Negara kadar hari ini tidak dikeluarkan kerana hari ini hari Ahad. Jadi kita perlu gunakan kadar tukaran pada hari Khamis 16hb Januari 2014 kerana hari Jumaat juga merupakan hari kelepasan am di Wilayah Persekutuan atas sambutan Thaipusam. Mengikut kadar hari Khamis tukaran bagi setiap RM3.2980, kita akan mendapat USD1. Tetapi pengurup di Jalan Masjid India membeli RM3.2800 bagi setiap USD1. Apabila ditukarkan RM2,500, kita mendapat USD762, berbanding kadar Bank Negara kita hanya mendapat RM758.84. Perbezaan hampir RM4 di situ. Bagi yang tidak kisah tidak apa. Tetapi bagi yang keluar negara secara backpack dan dengan berjimat cermat, RM4 itu ialah jumlah yang yang boleh disalur untuk perkara lain. Malah di pengurup di Ampang Point juga dikatakan memberikan kadar yang bagus apabila hendak menukarkan wang. Rajin-rajin meneliti kadar di papan kadar pengurup-pengurup wang itu. Perbezaan kadar .01 pun memberikan kelebihan terutama apabila yang ditukarkan banyak. Di kebanyakan pengurup wang, tukaran sepuluh ribu dan ke atas selalunya memerlukan perincian penukar itu direkodkan.

Seeloknya sebelum menukar mata wang, cuba-cubalah melayari laman sesawang Bank Negara ini. Ini merupakan panduan turun naik kadar tukaran wang yang disediakan oleh Bank Negara. Bagi memudahkan kiraan pertukaran wang, gunakan applikasi yang disediakan oleh Bank Negara di laman sesawang ini. Sekurang-kurangnya kita akan mengetahui anggaran kasar kadar mata wang asing yang patut diterima bagi jumlah tukaran ringgit kita itu.



Sekiranya mahu ke negara yang mata wangnya tiada atau sukar dicari di Malaysia seperti Czech Koruna, atau Forint Hungary, atau Dinar Jordan, atau Israel Shekel, atau Kemboja Riel, tukarkan mata wang ringgit kepada dollar US. Apabila sampai di negara itu nanti, gunakan dollar US itu untuk ditukar kepada mata wang tempatan. Dan bagi sesiapa yang ingin ke Kemboja, bawalah dollar USD sahaja. itu sudah mencukupi kerana rakyat Kemboja berjual beli dalam mata wang itu. Selain dollar US, boleh juga ditukar kepada pound sterling British atau Euro. Kedua-dua mata wang ini tinggi kadarnya berbanding ringgit. Oleh itu, tukar kepada dollar US rasanya sudah memadai.

Dan owh... kalau boleh janganlah tukar mata wang itu di pengurup dalam mall mewah seperti di KLCC dan Pavillion. Jangan juga tukar di lapangan terbang atau bank-bank komersil kerana berdasarkan pemerhatian, selalunya kadar mereka lebih rendah daripada kadar sepatutnya. Tidak berbaloi kecuali terpaksa kerana kesuntukan masa. Dan kalau boleh, jangan tukar terlalu awal. Menukar mata wang dua minggu sebelum berangkat itu terlalu awal. Kadarnya masih boleh naik dan turun. Bersabar dan hanya tukar dua atau tiga hari sebelum berangkat.


Selamat memburu kadar tukaran mata wang terbaik!



Nota: gambar diambil dari laman sesawang dan mungkin mempunyai hak cipta

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...