Ahad, 13 April 2014

Irama Songkran - Nota 1: Lambaian Songkran


Khamis, 10hb April 2014.

Bangun bersiap seawal 5:30 pagi dan keluar rumah seawal 6:35 pagi menunggu teksi di tepi jalan untuk ke Stesen Kommuter UKM.  Mujurlah tidak lama menunggu. Dalam 10 minit. Sebenarnya ngeri memikirkankan kalau tiada teksi lalu di kawasan itu pagi-pagi begitu. Sebelum pukul 7 pagi, dah terpacak di Stesen Komuter UKM. Kaunter tidak belum dibuka. Dan ramai beratur mengadap mesin tiket klasik yang hanya terima duit lama dan syiling dulu kala. Alahai KTM, kenapa begitu perkhidmatannya? Mujur juga Tuhan menggerakkan hati supaya membawa kad touch & go yang selalunya ditinggal di dalam kereta sahaja. Jadi terus sentuh dan lalu di tempat laluan masuk.
 
Ramai sebenarnya sedang menunggu komuter pagi-pagi begitu untuk ke KL. Lebih kurang pukul 7:10 pagi komuter sampai. Ramai. Tetapi tidak sesak. Ramai yang turun di KL Sentral termasuk yours truly. Tanpa keluar dari stesen, terus tukar platform ke Pelabuhan Klang. Hahaha... Hendak ke Skypark Lapangan Terbang Subang dengan cara yang murah begitulah. 2 tren komuter dari arah berbeza dan terpaksa tukar di KL Sentral. Dari situ, naik tren ke arah Pelabuhan Klang dan berhenti di Subang Jaya. Dari Subang Jaya ambil teksi di stesen untuk ke lapangan terbang. Tanpa meter harga dipetik pemandu selalunya antara RM15-20. Redha sajalah asalkan sampai ke lapangan terbang.
 
Semasa dalam tren ke Subang Jaya itulah yours truly terperasan yang selipar yang disarung semasa keluar rumah itu berlainan pasangannya walaupun kedua-duanya berwarna hitam.Termalu sendiri. Harapnya tiada yang perasan. Sesampai di stesen Subang Jaya, keluar dan singgah di kedai runcit stesen membeli selipar baru. Walaupun murah, asal berpasangan betul sudah mencukupi. Pergi ke negara tropika tidak perlu berkasut berjenama bagai. cukup dengan berselipar asalkan pasangan selipar itu betul. Heee...
 
Sampai saja ke Skypark Subang, dan kerana daftar masuk telah dibuat awal, dengan yakin yours truly menghulur kertas cetakan daftar masuk untuk mendaftarmasukkan beg deuter sebagai bagasi kepada petugas firefly di kaunter beg drop, sambil petugas kaunter membuat muka aneh dan menyebut "Malindo?". :Tak, Firefly", jawapan penuh keyakinan. "Err.. ni Air Asia..." Ehh... Kenapakah? Tersilap begitu. "Jap.. silap kertas..." pantas cari dalam beg kertas daftar masuk yang betul. Malu!

Selesai mendaftar masuk beg, terus bersarapan dulu. Masih banyak masa sebelum masuk ke balai berlepas. Lagipun Skypark ini kecil sahaja. tidak banyak kerenah semasa melalui kawalan keselamatan. Penerbangan tepat pukul 10:20 pagi dan sampai pada masanya 11:20 pagi ke Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Aman damai sepanjang penerbangan. Syukur pada Allah.
 
Dari Lapangan Terbang Pulau Pinang, naik Rapid Penang ke Jeti untuk ke Bagan, kata orang utara - Butterworth, kata orang Kuala Lumpur. RM2.70 kena bayar atas bas dengan bayaran tepat yea adik. Kata petugas perempuan Rapid Penang yang menjaga aturan Bas di situ. ADIK!! Asalkan bahagia dan mungkin yours truly memang nampak muda kot. Heh!

Sebelum 1:30 tengahari dah sampai di Jeti. Puas juga pusing Pulau Pinang dengan Rapid Penang ni. Pengkalan Raja Uda masih macam dulu rupanya. Kenapa tidak ada ubahsuai selaras kemajuan zaman? Sungguh klasik rasanya melangkah laluan lorong ke tempat menunggu feri.  Apa pun selamat naik feri Pulau Angsa ke Bagan sebelum pukul 2:00 petang. Sampai saja ke seberang, terus ke stesen KTM. Owh... stesen KTM sedang dinaiktaraf dan diubahsuai. Jadinya laluan ke stessen dan platform agak celaru. Sesampai dalam stesen, terdengar pengumuman - Passenger to Bangkok please board the train at platform 2. The train will leave at 2:30pm.

Baiklah. keretapi dah ada di platform. Tapi kenalah membeli air dan jajan sebagai bekalan. Nasib baik tren tidak pernah mengamalkan polisi monopoli dan tamak Air Asia: tiada makanan dan minuman luar dibenarkan. Haru juga bagi perjalanan 20 jam kalau makanan dan minuman semuanya kena dibeli dari koc restaurant tren yang mahal itu. Selesai membeli air, seorang petugas mula bercakap, "Bangkok, Bangkok... platform 1..." Eh, platform 1 atau 2 ni? Bila ditanya kepada petugas tu, jawapan - sama je dik, cuma ada satu keretapi jer waktu ni... Baiklah. Marilah pergi ke platform untuk menaiki tren itu. Sebelum itu, sila perasaan yang your truly sekali lagi dirujuk sebagai 'adik'. Hahah... memang masih mudalah...

Tren ke Bangkok hanya dua koc sahaja. Dan koc ini akan disambung bila tren sampai di Hatyai katanya. Ramai foreigners yang naik tren ini. Dan tempat duduknya nampaknya lebih selesa dari tren Jogja-Bandung dulu. Tempat duduk boleh ubah jadi tempat tidur apabila malam. Lower berth no 18. di koc no 10. Tepat 2:30 petang. tren bergerak. Tiket diperiksa semasa tren bergerak. dan selepas 20 minit, pekerja Thailand telah mula mengedar kad ketibaan dan keluar Thailand. Dan selepas itu mengedar pula menu makan malam. Katanya makan malam akan dihidang pada pukul 6:00 petang sewaktu tren berhenti untuk pemeriksaan imigresen di sempadan Padang Besar. Pesan juga makan malam vegetarian. 160 baht. Takut lapar kerana tidak bawa bekal makanan berat.

Dan memang tepat pukul 6:00 petang, tren sampai di Padang Besar. Semua perlu turun untuk pemeriksaan imigresen kedua-dua Negara Malaysia dan Thailand. Pastikan kad ketibaan dan keluar Thailand diisi terlebih duhulu. Beg boleh ditinggalkan. Hanya pasport yang perlu dibawa. Apabila naik semula ke tren, hidangan makan malam telah dihidang dalam pek plastik. Dan tren selamat memasuki sempadan Thailand. Dan masa menjadi lewat satu jam dari waktu Malaysia. Dan telefon mula menerima mesej dari syarikat telekomunikasi Thailand. Dalam pukul 7:30 - 8:00 malam, pekerja tren mula menukar tempat duduk menjadi katil. Aha.. dah boleh tidur dengan mimpi simbahan air songkran...

Selamat datang ke Thailand!!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...