Isnin, 21 Januari 2013

Mabuhay Escapade 2012 - Catatan 7 (Manila Bay)


Sabtu.

6hb Oktober 2012.

Hari ketiga ini Encik Moon mahu mencari setem-setem keluaran khas Filipina. Jadi perlu ke pejabat pos. Pagi itu, Encik Moon cuba bertanya kepada pengurus perempuan yang bertugas di kaunter di manakah pejabat pos. Pengurus itu memberitahu bahawa pejabat pos ada di Robinsons Mall di tingkat 3. Kami menjadi agak blur dengan penerangan pengurus itu. Sebenarnya malam semalam selepas balik dari Rizal Park kami telah ke Robinsons lagi dan semasa sampai di hostel selepas balik dari Robinsons itu, Encik Moon ada bertanyakan Encik Jerome di kaunter mengenai pejabat pos. Kata Encik Jerome, pejabat pos ada di Lawton yang jauh dari kawasan Malate. Tidak pula Encik Jerome beritahu ada pejabat pos di Robinsons. Malah semasa kami berada di Robinsons Mall, tidak pula kami perasan ada pejabat pos di tingkat 3. Tetapi tidak mengapa. Kami akan ke Robinsons Mall kerana pengurus begitu yakin ada pejabat pos di tingkat 3.

Sampai di sana, kami terus ke tingkat 3. Berpusing-pusing mencari pejabat pos di situ. Tidak ada. Atau kami yang tidak perasan? Baiklah, kami turun semula ke aras bawah dan bertanyakan kaunter informasi di mana lokasi pejabat pos. Tidak ada pejabat pos di tingkat 3. Pejabat pos ada di aras bawah tetapi di luar Robinsons Mall. Terus kami keluar dan berjalan ke arah yang yang diberitahu oleh kaunter informasi. Jumpa satu pejabat pos kecil di luar Robinsons Mall. Tetapi malangnya setelah Encik Moon bertanya, dia diberitahu bahawa pejabat itu hanya menjual setem untuk surat atau poskad yang hendak diposkan sahaja. Ouch... kecewa sedikit.

Terus kami menukar perancangan. Kali ini kami hendak ke S.M Asia Mall. Katanya ini ialah Mall yang terbesar di Asia. Untuk menyenangkan kami, kami akan pergi dengan teksi sahaja. Teksi diambil di depan Robinsons Mall.


Ada eyes of Manila di sini. Dan kerana kawasannya yang luas itu, perkhidmatan tram disediakan bagi kemudahan pengunjung bergerak dari satu point ke point yang lain.


Tidak ada apapun yang dibeli di sini. Cuma Encik Moon membeli model jeepney sebagai cenderamata di sini. Baju tradisional Filipina - barung - nampaknya agak mahal di kedai itu. Entah apa namanya. Terlupa. Ampun.

Berpusing-pusing lagi di sini. Memasuki Uniqlo dan Bench tetapi tetap tidak membeli apa-apa.Tetapi meriah sungguh ucapan selamat datang daripada staf-staf Uniqlo bila melangkah masuk kedai itu. Kemudian memasuki pula kedai DVD Astro. Ini bukan Astro penyiar siaran berbayar di Malaysia tetapi seperti kedai dvd Speedy di Malaysia. Hah! terjumpa koleksi cerita indie keluaran Filipina seperti walang kawala dan junior. Tetapi hanya tengok sahajalah, tidak membeli di sini. Setelah bosan, kami keluar menuju ke perhentian teksi. Kali ini menuju ke Manila Bay. Kononnya ingin menunggu melihat matahari terbenam.


    






Sepanjang berada di Manila Bay beberapa orang pemandu Calesa cuba menawarkan perkhidmatan kereta kuda mereka kepada kami. Tetapi kami menolak dengan alasan ingin berjalan sepanjang Manila Bay. Seorang daripada datang berbual-bual dengan Encik Moon. Rajin pula Encik Moon melayan perbualan pemandu itu. Apabila pemandu itu bertanya kami dari mana, kami katakan kami dari Indonesia. Heee...

Ramai juga yang membuat pelbagai aktiviti riadah di Manila Bay. Ada yang memancing, ada yang berjogging, ada yang berbasikal dan ada juga yang membuat photoshoot perkahwinan. Meriah. Tetapi seperti yang dikatakan awal tadi, kononnyalah ingin melihat matahari terbenam, sebelum sempatpun matahari terbenam kami sudah mula berjalan balik kerana takut dalam kegelapan kami tidak dapat mengagak kedudukan kami. Sempat juga melalui kawasan Gereja Malate yang nampak ada servis pada petang Sabtu itu atau itu suatu majlis perkahwinan?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...